Putrajaya - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terkejut dan menafikan telah memberi perakuan dan sijil logo halal kepada produk atau syarikat yang mengeluarkan minuman keras.
Pengarah Hab Halal jabatan itu, Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim telah membuat laporan polis di Balai Polis Putrajaya semalam berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bagi menyampaikan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan gambar tin minuman bir berjenama ‘Carlsberg’ tertera logo halal yang disebar melalui media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.
Beliau berkata sebarang penyalahgunaan logo halal oleh mana-mana pihak boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan – Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011).
Beliau berkata penyebaran gambar itu boleh menimbulkan tanggapan negatif kepada Jakim dan boleh menyentuh sensitivi umat agama islam. 'Logo halal tidak boleh dilabel dengan semudah itu' Katanya.
Beliau berharap pengguna tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu di laman sosial yang sengaja dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menghentikan penyebaran perkara sedemikian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.
Sumber - Bernama
0 comments:
Post a Comment